Showing posts with label Tips Sihat. Show all posts
Showing posts with label Tips Sihat. Show all posts

Tuesday, April 13, 2010

Fakta Atau Auta: 'Low-Fat' atau '0% Fat' = Rendah Kalori??

Yogurt? Saya sukeeee!!!

Baru-baru ini saya beli promosi minuman yogurt, beli satu minuman '0% Fat' dan satu minuman 'Low-Fat' pada harga istimewa. Saya pun cubalah minuman yogurt '0% Fat' tersebut, sedap! Sama je rasa dengan minuman 'Low-Fat'. Suami tengok saya begitu asyik sekali minum, dia pun menegur, "Sedap je minum air tu, dah tengok kalori dia berapa?" Bila saya semak, rupanya nilai kalori per hidangan untuk minuman '0% Fat' tersebut tinggi sedikit berbanding minuman 'Low-Fat'. Dah nak habis sebotol saya dah minum, baru perasan :)

Tujuan saya bercerita tentang kisah saya ini ialah bukannya minuman yogurt tersebut tidak elok. Kalorinya masih rendah dan nak minum banyak mana pun terpulanglah pada rasa tekak masing-masing. Apa yang saya ingin timbulkan ialah kita selalu salah sangka makanan/minuman rendah lemak, nilai kalorinya juga tentu rendah, oleh itu kita boleh makan lebih daripada biasa. Tapi hakikat sebenar, nilai kalori bagi makanan/minuman yang rendah lemak mungkin sama atau lebih tinggi daripada jenis yang biasa. Saya memetik daripada laman womenfitness.net:
Myth: Fat free is calorie free.
Fact: Some people indulge in extra-large servings of fat-free foods, such as cookies, cakes and crackers, without realizing that these foods may contain the same amount or even more calories than regular versions. Get the facts on fat-free foods by checking food labels for the serving size and number of calories per serving. Fruits and vegetables are naturally low in fat and calories. However, other low fat or no fat foods may still contain a lot of calories. To make such foods taste better, extra sugar, flour, or starch thickeners are usually added. These ingredients are high in calories and may lead to weight gain.
Jadi untuk asas pemakanan yang sihat, untuk apa-apa jenis makanan atau minuman yang kita ingin ambil, pastikan saiz hidangannya memadai dengan bersederhana dan bersesuaian dengan diri masing-masing. Enjoy your food today!


Inginkan makanan yang baik untuk kesihatan? Cubalah Formula 1 HL, lengkap dengan nutrisi yang diperlukan oleh badan dan rendah kalori.

l Promosi April l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Sunday, April 11, 2010

Diet Anda 'Miss'/Lari? 5 Cara Untuk Kembali Semula Berdiet

Terlebih makan?

Jika anda sedang berdiet, kemungkinan yang amat besar kadangkala anda akan lari atau 'miss' daripada tabiat diet anda. Contohnya anda perlu menghadiri kenduri atau jamuan makan yang diadakan di rumah saudara atau rakan. Atau anda perlu pergi berkursus selama 2-3 hari. Saya juga mempunyai masalah yang sama, jika saya pergi berkursus di tempat lain, masa dan pilihan makanan itu terhad, selalunya saya akan 'miss' tabiat diet saya. Baru-baru ini saya terbaca satu artikel di internet berkenaan perkara di atas dan di sini saya ingin kongsikan cara-cara untuk membantu kita kembali semula ke tabiat diet yang asal:
  1. Ambil sarapan keesokannya. Jika anda telah makan banyak pada malam sebelumnya dan berfikir untuk tak mahu bersarapan keesokan hari disebabkan 'masih lagi kenyang', jangan.. Anda perlu tetap mengambil sarapan untuk memastikan metabolisma badan tidak menurun.
  2. Potong pengambilan kalori. Cuba potong dalam 500 kalori dalam pengambilan makanan sehari. Kurangkan makanan atau minuman bergula, banyak garam, berminyak, banyak 'dressing'. Lebihkan sayuran dan buahan. Ulang selama 2-3 hari.
  3. Banyakkan minum air. Atau ambil buahan yang tinggi kandungan air seperti tembikai, anggur, epal. Ini akan menyeimbangkan semula air dalam badan dan membantu pembakaran lemak.
  4. Makan dengan teratur. Makan setiap 3-4 jam akan membantu menyeimbangkan kandungan gula dalam badan.
  5. Gandakan senaman. Bersenam lebih lama, tambah ulangan bersenam atau membuat senaman lebih berat. Atau pun pergi bersenam di 'gym', 'pulun' bersenam di sana selama 2-3 hari.
Untuk bacaan lanjut, boleh layari laman tersebut di sini. Atau anda boleh cuba Tea Mix HL, ianya bukan sahaja membuang racun dalam badan, malah membantu membakar kalori dan memberi tenaga.


l Promosi April l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Tuesday, April 6, 2010

Tidur Sebentar Semasa Tengahari Baik Untuk Anda

Anda mengantuk semasa tengahari dan ingin tidur sebentar? Kajian yang dijalankan oleh Universiti California telah menunjukkan bahawa tidur sebentar dapat membantu otak bekerja dengan lebih baik. Kajian dijalankan ke atas sekumpulan remaja yang sedang belajar dan didapati prestasi dan daya ingatan mereka yang rehat dan tidur di antara waktu pembelajaran telah meningkat sebanyak 10 peratus. Bagi remaja yang berehat seperti biasa, prestasi pembelajaran mereka merudum sebanyak 10 peratus. Matthew Walker, ketua penyelidik bagi kajian tersebut berpendapat maklumat yang diserap di dalam otak akan berpindah-randah semasa tidur. Perubahan lokasi maklumat tersebut memperbaiki daya ingatan dan seterusnya membantu dalam meningkatkan prestasi pembelajaran.

Jadi jika anda ingin tidur sebentar untuk merehatkan diri anda, teruskan kerana ianya memang baik untuk diri anda.

Artikel dan gambar dipetik daripada www.npr.org


l Promosi April l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Sunday, April 4, 2010

Anda Sering Sakit? Mungkin Disebabkan Kerjaya Anda


Di dalam kerjaya anda, adakah anda seorang yang:
  • Tegas dan sangat terperinci
  • Bercita-cita tinggi dan menyukai pangkat atau imbuhan
  • Agresif dalam menyelesaikan tugas
  • Sangat kuat bekerja 
  • Tidak sabar dan mudah melenting jika pekerja lain lambat atau salah dalam tugasan
Hati-hati, kerana mungkin anda ialah personaliti Jenis A (Type A). Walaupun sifat-sifat di atas adalah baik terutama untuk kerjaya korporat atau bisnes, namun ia boleh memberi kesan kepada kesihatan anda. Personaliti Jenis A ialah kriteria yang ditentukan oleh ahli kardiologi dalam kajian mereka untuk menghubungkaitkan tekanan kerja dan penyakit jantung. Sebaliknya, personaliti Jenis B (Type B) adalah mereka yang relaks, kurang agresif dan tidak gemar bersaing, mempunyai kebarangkalian rendah untuk mendapat penyakit jantung.

Oleh itu, jika anda selalu sakit, mungkin jawapannya boleh didapati dalam kerjaya anda sendiri. Ubahsuai gaya hidup anda agar anda mendapat rehat yang cukup, pengambilan makanan pada waktu yang betul serta ambil sedikit masa untuk bersenam agar menjadi lebih sihat dan cergas.

Artikel dan gambar dari www.telegraph.co.uk

l Promosi April l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Sunday, March 28, 2010

10 Tips Mudah Untuk Berdiet

Rasanya tentu ada pembaca-pembaca blog ni nak berdiet tapi susah nak amalkan diet sihat. Di sini saya ingin kongsikan diet-diet sihat, ianya ini sangat mudah dan boleh kita masukkan bersama ke dalam rutin harian kita.
  1. Makan sarapan berasaskan bijirin. Ganti sarapan anda dengan makan oat, cornflake dan lain-lain. Jika anda gemar makan roti, cuba makan roti 'whole grain'.
  2. Tambah protein dalam sarapan anda. Kajian telah menunjukkan individu yang makan banyak ketika sarapan akan berasa lambat lapar sehingga waktu tengahari. Selepas sarapan, anda boleh makan makanan berasaskan protein supaya lebih kenyang seperti telur separuh masak, sosej rebus, daging bakar atau lain-lain.
  3. Makan snek sihat. Lapar sebelum waktu makan? Rasa nak mengunyah? Jika anda suka makan biskut, makan biskut jenis serat tinggi (hi-fibre). Buah-buahan juga snek sihat yang bagus.
  4. Kurangkan gula dalam minuman. Jika anda bancuh minuman dengan dua sudu gula, kurangkan menjadi satu. Jika satu sudu, kurangkan menjadi setengah. Banyakkan minum air kosong.
  5. Lap makanan berminyak dengan tisu. Jika anda makan makanan berminyak seperti kuih, roti dan lain-lain, lapkan ia dengan tisu agar minyak-minyak dapat diserap sedikit.
  6. Ubah saiz hidangan. Semasa makan tengahari, jika anda makan nasi, kurangkan nasi dan lebihkan sayur-sayuran.
  7. Ubahsuai snek anda. Pilih atau beli makanan jenis rendah lemak seperti susu, kopi, 'muffin'. Sesetengah makanan bergoreng sama sedap jika dimakan secara rebus atau bakar seperti sosej, bebola ikan dan lain-lain.
  8. Mulakan dengan sup. Pesan makanan anda bersama sup seperti sup ayam, sup daging, sup sayur. Mula makan sup tersebut baru diikuti dengan makanan anda. Dengan cara ini anda akan berasa cepat kenyang.
  9. Nikmati makanan anda. Kunyah makanan anda lebih lama. Bukan sahaja makanan anda akan lebih tercerna, anda akan makan lebih perlahan dan mengurangkan kuantiti pengambilan makanan.
  10. Ubahsuai makanan segera anda. Saiz hidangan sederhana sudah memadai. Tukar minuman dari jenis bergas ke minuman biasa seperti minuman coklat, teh, atau kopi. (Untuk tips makan makanan segera yang lain, klik sini.)
Mudah bukan? Siapa kata diet tu susah! Cuma perlu ubahsuai sedikit sahaja cara permakanan biasa kita. Pilih tips-tips yang anda mudah untuk ikuti dan amalkan selalu supaya ia menjadi tabiat anda. Selamat mencuba!

Imej daripada skinnychef.com

l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Monday, March 22, 2010

10 Lagi Cara Mudah Untuk Bersenam Di Rumah/Pejabat


Sebelum ini saya telah pos tips-tips mudah bersenam di rumah dan di pejabat, di sini saya poskan lagi tips-tips senaman mudah yang lain.
  1. Apabila anda bangun tidur, luruskan kaki dan duduk perlahan-lahan tanpa menggunakan tangan. Lunjurkan badan ke depan sehingga bahagian belakang dan betis terasa tegang. Kemudian baring semula perlahan-lahan. Ulang sehingga 3-4 kali.
  2. Semasa anda memberus gigi, cuba berdiri dengan sebelah kaki. Tukar kaki kiri dan kanan.
  3. Jika anda memandu, semasa kereta berhenti, genggam stereng kereta dengan kuat selama 10 saat. Ulang 10-15 kali.
  4. Di meja pejabat, buat duduk cangkung. Caranya ialah duduk tapi berhenti separuh, kemudian bangun semula perlahan-lahan tanpa menggunakan tangan. Ulang 15-20 kali.
  5. Semasa membeli-belah, bawa sedikit beban dalam beg tangan anda contohnya 2 beg gula.
  6. Semasa mengisi petrol kereta, berjingkit ke atas dan kebawah dengan tumit kaki. Buat sehingga selesai mengisi petrol.
  7. Sambil anda beratur semasa menunggu teksi atau bas, genggam tangan anda di belakang, rapatkan bahu sambil membuka dada dan mengambil nafas. Tahan nafas 10-20 saat dan hembus perlahan-lahan.
  8. Selepas makan malam dan duduk di kerusi, luruskan kaki ke hadapan dan bengkokkan ke atas dan ke bawah. Semasa kaki di atas, tahan selama 5 saat.
  9. Jika anda menonton tv, buat senaman ringan seperti bangun tubi semasa iklan disiarkan. Purata tempoh iklan ialah 7-8 minit, buat bangun tubi setiap kali iklan dan anda akan mudah mencapai 100-150 ulangan.
  10. Sebelum tidur, duduk ditepi katil dengan kaki rapat. Genggam tangan anda dan luruskan tangan anda ke atas dan luruskan badan sambil mengambil nafas sedalam-dalamnya. Tahan 10-20 saat dan lepaskan nafas perlahan-lahan. Anda akan berasa rileks serta merta.
l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Sunday, March 14, 2010

Kaedah Memasak Secara Sihat

Memasak secara sihat adalah mudah dan tidak mengambil masa yang lama. Anda hanya perlu merancang apa yang ingin dimasak dan menyediakannya dalam kaedah dan cara yang sihat. Disamping anda dapat menjaga kesihatan keluarga anda, memasak secara sihat juga akan membuatkan diri anda menjadi lebih kreatif. Anda dapat menyediakan masakan-masakan sihat yang baru dan juga anda boleh mengolah semula masakan yang diminati keluarga dengan cara penyediaan yang lebih sihat. Berikut adalah tips-tips tersebut:
  1. Gunakan lemak atau minyak seminimum yang boleh. Tukar dengan minyak sayuran atau majerin.
  2. Elakkan menggoreng terlalu lama. Stim, kukus, rebus atau bakar masakan anda. Gunakan kaedah tiada minyak contohnya menggunakan kuali tidak melekat (non-stick) atau oven ketuhar gelombang.
  3. Untuk memasak makanan liat dan keras seperti daging, kekacang; masak secara kukus, rebus atau gunakan periuk tekanan.
  4. Sejukkan sup dan kukusan terlebih dahulu supaya lemak dalam masakan menjadi pejal. Buang lemak-lemak tersebut, panaskan semula masakan dan hidangkan.
  5. Minimumkan penggunaan santan. Jika boleh, tukarkan dengan susu atau 'yogurt' rendah lemak.
  6. Untuk membuat kek atau kuih-muih, kurangkan lemak dengan menggunakan susu rendah lemak.
  7. Kurangkan garam, gula, perisa tambahan dan perencah. Kurangkan juga makanan kering seperti ikan dan sayuran kering. Tambah kesedapan makanan dengan menggunakan jus buah lemon, herba dan rempah ratus.
  8. Pastikan daging dan ikan dimasak dengan sempurna untuk membunuh kuman dan bakteria.
  9. Memasak terlalu lama akan menyebabkan zat-zat makanan hilang. Untuk sayuran, campurkan ia di akhir masakan agar sayur tidak terlalu layu dan kecut.
  10. Minimumkan penggunaan air. Tutup periuk dengan tudung agar air kurang tersejat dan sayuran terlebih masak. Elakkan daripada memanaskan makanan berulang kali.
Sumber daripada www.nutriweb.org.my

l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Wednesday, March 10, 2010

10 Rahsia Pemakanan Sihat di Rumah

Sebagai ibu bapa atau ketua keluarga, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi memupuk tabiat pemakanan sihat:
  1. Mulakan setiap hari dengan sarapan pagi; ia akan membekalkan tenaga dan khasiat untuk pagi yang produktif dan cergas sama ada di tempat kerja, sekolah atau untuk bermain.
  2. Pastikan makan pada waktu yang ditetapkan; tabiat melengahkan waktu makan akan menyebabkan pengambilan makanan yang lebih kerana perut berasa lapar.
  3. Jangan makan sambil menonton TV; kita akan kurang prihatin terhadap jumlah pengambilan makanan dengan perhatian beralih kepada rancangan TV.
  4. Beri anak anda susu, jus buahan atau air kosong daripada minuman manis atau bergas.
  5. Kurangkan pengambilan gula-gula atau makanan ringan; ianya kurang zat dan tinggi dengan gula, garam dan lemak.
  6. Boleh belikan anak-anak makanan segera, tapi jangan terlalu kerap. Jangan gantikan makanan segera dengan hidangan berkhasiat yang anda boleh sediakan sendiri di rumah.
  7. Hidangkan buah-buahan sebagai hidangan pencuci mulut atau sebagai snek; ianya kaya dengan vitamin, zat mineral dan serat.
  8. Pastikan anda menyimpan, menyedia, memasak dan menghidang makanan dengan cara yang selamat dan bersih.
  9. Galakkan keluarga agar selalu bersenam untuk membakar lebihan tenaga daripada pengambilan makanan. Ini akan memastikan keluarga kekal cergas dan sihat.
  10. Ajar anak-anak anda tentang makanan, zat nutrien dan pemakanan yang sihat; contohnya dengan mengajak mereka sama-sama menyediakan makanan di dapur.
Jadikan diri anda contoh ikutan untuk anak-anak anda; jangan cuma bercerita dan mengajar tapi anda sendiri tidak mengamalkannya. Lebih mudah mengAJAK daripada mengAJAR, kerana dengan mengAJAK, kita mengajar dan kita juga mengamal.

Sumber daripada www.nutriweb.org.my

l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Monday, March 8, 2010

Tips Sihat Untuk Menikmati Makanan Segera


Siapa kata kalau kita sedang mengamalkan diet sihat, kita tak boleh mengambil makanan segera? Kadangkala kita keluar bersama rakan dan mereka ingin makan di restoran makanan segera, tentu tidak manis jika kita menolak. Ataupun kita terlalu sibuk dan tiada masa untuk memasak, jadi makanan segera boleh dijadikan salah satu pilihan. Di sini saya ingin kongsikan tips sihat untuk pengambilan makanan segera.
  1. Hadkan diri anda untuk 2-3 kali sahaja dalam tempoh sebulan.
  2. 'Medium' atau 'Large'? Pilih saiz hidangan yang sesuai dengan diri anda. Jika anda tidak terlalu aktif, saiz biasa sudah memadai.
  3. Untuk makanan yang bergoreng, buang lapisan luar seperti kulit atau salutan tepung.
  4. Jika terlalu banyak krim atau 'dressing' pada makanan, buang sedikit krim tersebut sebelum makan.
  5. Akhir sekali, sunnah Nabi juga yang betul... berhenti sebelum kenyang. Kebanyakan restoran makanan segera boleh membungkus makanan lebihan dan dibawa balik.
Kita sebagai manusia telah dijadikan dengan naluri untuk makan. Jangan  had atau halang diri anda untuk mencuba makanan yang sedap. Jadi gunakanlah tips di atas dengan bijak dan nikmatilah makanan anda hari ini!

l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Wednesday, March 3, 2010

Pengurusan Berat Badan Secara Sihat (Bhgn Akhir)

Artikel ini adalah bahagian akhir daripada artikel yang saya telah pos sebelum ini (Bhgn 1, Bhgn 2, Bhgn 3).
________________________________________________

Langkah Ingin Menambahkan Berat

Jika BMI anda kurus dan anda ingin menambah berat badan, tip-tip ini akan membantu anda mencapai berat badan yang sihat secara berkesan dan selamat:
  1. Tetapkan jumlah pertambahan berat badan dan jangka masa yang realistik. Timbang berat anda setiap minggu.
  2. Kekal aktif dan lakukan latihan senaman. Jangan lakukan senaman yang keterlaluan.
  3. Tidur secukupnya, atasi tekanan anda dan sekiranya anda merokok, inilah masa untuk berhenti!
  4. Penambahan 500 ke 1,000 kcal sehari akan membantu anda menaikkan berat badan antara 0.5 ke 1 kg setiap minggu. Ambil makanan tinggi khasiat, tinggi kalori seperti produk tenusu, kacang, buah-buahan kering dan telur.
  5. Pastikan waktu makan yang teratur dan berehat, serta nikmati snek berkhasiat sepanjang hari.
  6. Elakkan cara penambahan berat badan seperti menaikkan selera makan atau makanan tambahan. Sentiasa rujuk kepada profesional kesihatan terlebih dahulu
Program Woman@Heart adalah hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Persatuan Pemakanan Malaysia. Untuk maklumat lanjut sila layari www.lppkn.gov.my


l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Tuesday, March 2, 2010

Pengurusan Berat Badan Secara Sihat (Bhgn 3)

Artikel ini adalah sambungan daripada artikel yang saya telah pos sebelum ini (Bhgn 1, Bhgn 2).
________________________________________________

Langkah Ingin Menurunkan Berat

Pengurusan berat badan secara teratur merupakan bahagian terpenting dalam penjagaan tubuh anda. Tip-tip ini akan membantu anda mencapai berat badan yang sihat secara berkesan dan selamat:
  1. Tetapkan matlamat dan jangka masa penurunan berat badan yang realistik. Sasarkan untuk turun tidak lebih dari 0.5 ke 1 kg setiap minggu.
  2. Bersenam 60 ke 90 minit setiap hari. Cuba berjalan pantas atau bersukan. Jika anda sudah lama tidak bersenam, mulakan dengan tempoh yang singkat dan tingkatkan masa sedikit demi sedikit.
  3. Mula bergerak. Naik tangga selain menaiki lif, lakukan kerja rumah atau berkebun.
  4. Hadkan pengambilan makanan tinggi lemak dan gula. Ambil lebih buah-buahan dan sayur-sayuran, kekacang, bijian dan bijirin. Kurangkan saiz hidangan dan makan mengikut waktu yang ditetapkan. Jangan langkau waktu makan. Jika tidak, anda akan mula makan snek atau terlebih makan!
  5. Elakkan daripada produk dan amalan yang menjanjikan keputusan yang cepat. Ini boleh membawa masalah kesihatan malah berat badan anda boleh bertambah dalam jangka masa panjang.
Akan bersambung ke Bahagian 4: Langkah Ingin Menambahkan Berat

Program Woman@Heart adalah hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Persatuan Pemakanan Malaysia. Untuk maklumat lanjut sila layari www.lppkn.gov.my


l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Monday, March 1, 2010

Pengurusan Berat Badan Secara Sihat (Bhgn 2)

Artikel ini adalah sambungan daripada artikel yang saya telah pos sebelum ini (Bhgn 1).
________________________________________________

Memperbaiki Imej Tubuh

Adakah latihan dalam artikel sebelum ini menunjukkan bahawa anda mempunyai persepsi imej tubuh yang negatif? Jika ya, inilah cara memperbaiki persepsi imej tubuh anda:
  1. Kaum wanita mempunyai bentuk dan saiz badan yang berbeza. Kenal pasti dan terima seadanya imej badan anda.
  2. Berpakaian rapi dan menghias diri supaya sentiasa kelihatan anggun. Ini meningkatkan keyakinan.
  3. Menyedari bahawa definisi pihak media terhadap wanita ideal mungkin tidak realistik.
  4. Elakkan meluang masa bersama mereka yang kritikal tentang penampilan anda. Jangan terpengaruh dengan apa yang orang lain kata.
  5. Makan mengikut Panduan Piramid Makanan Malaysia dan hindari mengamalkan diet melampau, diet yo-yo dan pil pelangsing.
Akan bersambung ke Bahagian 3: Langkah Ingin Menurunkan Berat

Program Woman@Heart adalah hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Persatuan Pemakanan Malaysia. Untuk maklumat lanjut sila layari www.lppkn.gov.my


l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Sunday, February 28, 2010

Pengurusan Berat Badan Secara Sihat (Bhgn 1)

Mulai hari ini, saya akan kongsikan artikel "Pengurusan Berat Badan Secara Sihat", salah satu artikel daripada program Woman@Heart.
________________________________________________

“Dalaman lebih penting dari luaran”. Memang terdapat kebenaran di sebalik pernyataan ini. Sekiranya anda tinggi keyakinan dan mempunyai imej tubuh yang positif, anda akan lebih menyayangi tubuh anda dan akan menjaganya sebaik mungkin. Jika sebaliknya, anda akan melakukan apa sahaja (walau merbahaya sekalipun) untuk kelihatan langsing dan menarik. Apa yang di dalam akan mempengaruhi luaran, jadi terimalah diri anda seadanya. Apabila anda berbuat sedemikian, anda akan membuat pilihan bijak tentang perkara berkaitan tubuh anda. Artikel ini akan membantu anda untuk mengetahui sejauh mana ketepatan anda menilai badan anda sendiri dan bagaimana mencapai berat badan yang sihat.

Cermin Oh Cermin Di Dinding

1. Pertama, kira Indeks Jisim Badan (BMI):


2. Berdasarkan jadual ini, BMI anda tergolong di mana?


3. Adakah anda rasa bahawa anda perlu untuk mengurangkan, menambah atau mengekalkan berat badan? Adakah jawapan anda sama dengan jawapan di kolum ‘Perubahan Berat Badan’? Jika tidak, anda mempunyai imej tubuh yang negatif.

4. Anda harus mengira BMI anda dan menilai persepsi imej tubuh anda sebelum mencuba mengurus berat badan anda. Imej tubuh yang negatif akan menyebabkan anda ingin kurangkan 10 kg sedangkan yang anda perlu lakukan ialah sebaliknya!

Akan bersambung ke Bahagian 2: Memperbaiki Imej Tubuh

Program Woman@Heart adalah hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Persatuan Pemakanan Malaysia. Untuk maklumat lanjut sila layari www.lppkn.gov.my


l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Wednesday, February 24, 2010

Pelik Tapi Benar : Tension? Ubatnya Potong Rumput Di Laman


Anda tension, stres, susah hati, tertekan? Ada kajian telah menunjukkan yang memotong rumput di laman rumah anda boleh menenangkan anda. Pelik kan?

Dr Nick Lavidis, seorang ahli sains neuro di University of Queensland telah membuat kajian selama tujuh tahun dan mendapati terdapat bahan kimia yang dihasilkan oleh rumput-rumput yang telah dipotong boleh menyebabkan individu berasa tenang dan relaks, dan juga mungkin boleh membantu mengekalkan kesihatan mental untuk hari tua. Aroma bau rumput bersama-sama udara yang segar akan mengaktifkan bahagian otak yang mengawal emosi dan memori dan seterusnya akan mengawal hormon stres.

Ada juga bonus yang lain. Dengan memotong rumput, anda dapat senaman ringan dan dapat membantu kita untuk mencapai hidup yang sihat. Kawasan rumah kemas dan cantik, badan dapat bersenam, otak pun dapat tenang, kan ke bagus tu?

Petikan artikel dan imej diambil dari www.telegraph.co.uk


l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Thursday, February 18, 2010

Fakta atau Auta: Minum Air Sejuk, Badan Cepat Gemuk?

Mesti ada di antara anda yang pernah terbaca atau terdengar 'statement' seperti di atas. Apa yang dikatakan ialah, jika kita gemar minum air sejuk, rongga pemakanan badan seperti kerongkong, tali perut dan sebagainya akan berlemak seperti lemak yang terkumpul dalam paip singki basuhan. Perbandingan tersebut mengandaikan apabila kita membuang sisa makanan dan membasuh pinggan mangkuk, minyak daripada sisa makanan tersebut akan bercampur dengan air basuhan pinggan menyebabkan keladak lemak melekat pada paip. Jadi jika kita gemar minum minuman sejuk, perkara yang sama juga akan berlaku dalam badan kita dan lemak-lemak itu akan membuatkan kita mudah gemuk.

Perbandingan tersebut ada logiknya, namun hakikat sebenar fakta di atas adalah TIDAK BETUL. Walaupun paip singki memang terdapat keladak lemak, namun bezanya paip singki dan rongga pemakanan badan kita ialah rongga pemakanan badan kita sama suhu dengan suhu badan. Apa-apa makanan atau minuman sejuk yang masuk ke badan kita, apabila ia sampai ke perut suhunya akan menjadi sama seperti suhu badan dan seterusnya diproses seperti makanan yang lain.

Untuk maklumat atau bacaan lanjut, boleh layari www.snopes.com


Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu

Tuesday, February 16, 2010

Tiada Masa Bersenam? 10 Cara Mudah Untuk Bersenam Semasa Di Pejabat

Jika tips bersenam sebelum ini boleh dilakukan di rumah, berikut adalah tips-tips mudah bersenam di pejabat. Jom amalkan, mudah sangat nak bakar kalori-kalori yang lebih tu ;)

  1. Jika ada panggilan telefon, jawab sambil berdiri dan bergerak sedikit.
  2. Daripada menggunakan telefon pejabat, pergi ke meja rakan sekerja untuk perbualan.
  3. Gunakan tangga selain daripada lif.
  4. Untuk pejabat berbelas tingkat, keluar dari lif beberapa aras awal dan gunakan tangga untuk ke aras pejabat sendiri.
  5. Berdiri dan berjalan sedikit semasa menunggu teksi.
  6. Turut serta dalam pasukan bola sepak, futsal, bola jaring bersama rakan sekerja.
  7. Ambil bahagian dalam aktiviti riadah di pejabat.
  8. Jadi ahli di gim kesihatan yang berhampiran dengan pejabat.
  9. Jika ambil kenderaan awam ke tempat kerja, turun jauh sedikit dan berjalan kaki ke pejabat.
  10. Ambil angin di sekitar pejabat semasa waktu rehat atau semasa rehat tengahari.

l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Thursday, February 11, 2010

Tiada Masa Bersenam? 10 Cara Mudah Untuk Bersenam Semasa Di Rumah


  1. Kemas rumah atau buat kerja rumah dengan sendiri. Jangan upah orang lain.
  2. Berkebun di rumah atau potong rumput di laman.
  3. Ambil dan buat minuman anda sendiri. Jangan minta orang lain ambilkan.
  4. Semasa menonton TV, kayuh basikal senaman atau buat senaman ringan.
  5. Semasa menjawab telefon, jawab dengan berdiri dan buat gerakan ringan.
  6. Pergi berjalan untuk mengambil angin sebelum sarapan atau selepas makan malam.
  7. Jika ingin ke kedai runcit, cuba berjalan kaki atau berbasikal.
  8. Jika kedai runcit agak jauh, pandu kenderaan dan letakkan ia jauh dari kedai agar kita dapat berjalan kaki sedikit.
  9. Apabila berjalan, cuba lajukan sedikit langkah.
  10. Regangkan badan untuk megambil barang di tempat tinggi. Cangkung untuk mengambil barang di aras bawah.

Mudah bukan? Jadi tiada lagi alasan untuk tiada masa bersenam, malah lebih mudah sebab tips-tips di atas boleh kita gabungkan bersama kebiasaan kita sebelum ini. Jom kita amalkan bersama!


l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Thursday, February 4, 2010

10 Benda Yang Lebih Kotor Daripada Tandas

Info berikut adalah sambungan daripada pos semalam. Jangan terkejut kerana kebanyakan benda-benda ini antara benda yang kita guna/pegang setiap hari:

1. Gagang telefon

2. Meja kerja

3. Keyboard/mouse komputer

4. Tombol pintu

5. Pemegang tangan eskelator

6. Butang lif

7. Butang ATM

8. Pemegang troli beli-belah

9. Singki dapur

10. Pagar putar LRT


Imej-imej daripada internet

l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Tuesday, February 2, 2010

Fakta Atau Auta: Troli Beli-Belah Lebih Kotor Dari Mangkuk Tandas??


Anda mungkin terkejut, tapi jawapan bagi soalan di atas ialah YA; troli beli -belah adalah lebih kotor daripada mangkuk tandas!!

Menurut kajian selama empat tahun yang dijalankan oleh Environmental Research Lab' Universiti Arizona dan ditaja oleh Clorox, didapati bahawa troli beli-belah terdedah kepada air liur, kahak, air kencing & najis bayi, juga darah dan lendir daripada ayam, ikan dan lain-lain.

Sekurang-kurangnya apabila kita hendak menggunakan tandas, kita akan membersihkannya terlebih dahulu. Tapi apabila kita menggunakan troli, adakah kita membersihkannya juga? Contohnya tempat duduk bayi, kadang kala kita gunakan tempat itu untuk meletakkan buah-buahan atau sayuran. Tapi pernah tak kita terfikir mungkin pengguna troli sebelum itu meletakkan bayi mereka dengan lampin penuh di tempat duduk tersebut?


Jadi selepas ini, kita disarankan agar sentiasa menjaga kebersihan diri dengan selalu mencuci tangan selepas memegang benda-benda yang kotor. Tolong 'share' info ni ye!

Sumber: www.snopes.com

l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Sunday, January 31, 2010

Fakta Atau Auta: Kalau Makan Malam, Badan Lebih Senang Gemuk??


Makan malam merupakan waktu makan utama dan sama penting seperti sarapan dan makan tengahari. Makan malam seringkali diabaikan oleh sesetengah daripada mereka yang ingin mengurangkan berat badan. Pada tanggapan mereka, makan malam boleh mengakibatkan mereka menambahkan berat badan.

Salah satu faktor yang menyumbang kepada berlebihan berat badan adalah pengambilan makanan yang melebihi keperluan. Pengambilan makanan harian boleh dibahagikan kepada beberapa hidangan dalam sehari termasuk makan malam. Oleh itu, makan malam yang sihat dan tidak melebihi keperluan kalori harian tidak akan mengakibatkan berlebihan berat badan. Apa yang penting adalah jumlah kalori yang diambil dalam sehari, tidak kira samada semasa sarapan, makan tengahari ataupun makan malam.

Namun begitu, makan malam seringkali dikaitkan dengan masalah kegemukan disebabkan oleh beberapa faktor :
  • Makan malam biasanya masa untuk berkumpul bersama ahli keluarga. Kajian mendapati makan dalam kumpulan yang ramai mempengaruhi saiz hidangan. Kita akan makan lebih banyak semasa makan bersama orang lain daripada makan bersendirian.
  • Sesetengah orang, terutama wanita, suka melangkau waktu makan semasa di siang hari. Melangkau (skipping) sesuatu waktu makan boleh menyebabkan kelaparan yang tidak terkawal dan membuat seseorang itu makan berlebihan terutama semasa makan malam.
  • Makan malam juga mungkin dijadikan sebagai salah satu cara untuk melepaskan tekanan selepas seharian berhadapan dengan pelbagai masalah. Bagi sesetengah orang, makanan dijadikan sebagai bahantara untuk melepaskan tekanan dan melupakan segala masalah yang dihadapi. Ini akan mengakibatkan pengambilan makanan secara berlebihan.
  • Waktu malam adalah waktu yang digunakan untuk berehat dan bersantai untuk melepaskan kepenatan setelah seharian bekerja. Masa rehat ini mungkin digunakan untuk menonton televisyen. Beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan perkaitan antara menonton televisyen dengan masalah kegemukan. Ini kerana semasa menonton, kita akan cenderung mengambil makanan yang tinggi lemak dan kalori seperti ais krim, coklat, kerepek, keropok dan sebagainya. 
Sumber: www.myhealth.gov.my
Imej: www.canada.travel


l Kisah Turun 6kg Dalam 16 Minggu l Home l

Related Posts with Thumbnails